
SITUASI bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri pada bulan lalu terutamanya di kawasan Lembah Klang benar-benar membuka mata kita tentang betapa prihatinnya rakyat Malaysia.
Ramai yang menghulurkan bantuan daripada segi tempat tinggal dan bekalan makanan secara percuma.
Malahan ada juga diangkat menjadi wira tidak didendang seperti 'Abang Viva' apabila sanggup datang dari Melaka, berbekalkan RM50 dengan membawa bot untuk menyelamatkan mangsa terperangkap di beberapa negeri.
Pada Jumaat, tular di media sosial tentang keprihatinan sekumpulan anak muda dari Kluang, Johor yang sanggup datang ke Sri Nanding di Hulu Langat, Selangor bagi membantu membaiki motosikal secara percuma.
Menurut perkongsian daripada pengguna Facebook, Jeff, mereka membaiki lebih 100 buah motor yang rosak akibat banjir tanpa saluran dana daripada kerajaan.
Bagi penulis, bantuan seperti ini amat membantu meringankan beban mangsa banjir.
Kos membaiki kenderaan yang rosak bukanlah murah, tambahan pula mangsa banjir bergelut untuk memulakan kembali kehidupan mereka.
Bantuan sebegini walaupun nampak kecil nilainya namun ia bernilai besar buat mereka yang terkesan dengan bencana tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram