Dua jemaah umrah positif Omicron di Johor Bahru


  • Primer
  • Ahad, 26 Dis 2021

PASANGAN tersebut pergi menunaikan umrah pada 4 Disember dan pulang ke Malaysia melalui KLIA pada 16 Disember lalu. — Gambar Hiasan/Bernama

JABATAN Kesihatan Negeri Johor pada Sabtu mengesan dua kes Omicron melibatkan pasangan suami isteri yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan Umrah.

Exco Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri Johor, berkata, mereka pergi menunaikan umrah pada 4 Disember dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lalu.

Menurutnya, ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) di pintu masuk antarabangsa yang dilakukan pada 16 Disember mendapati mereka positif varian itu.

"Sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institue Of Medical Research (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.

"Mereka sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru. Kesemua kontak rapat juga telah dikenalpasti selain diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Vidyananthan mengingatkan agar semua rakyat Johor yang pulang dari luar negara khususnya dari umrah supaya mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan.

"Kegagalan mematuhi arahan terbabit akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri sebelum melakukan aktiviti berkumpul atau berkunjung bagi menziarahi sanak saudara, jiran tetangga mahupun rakan ketika sambutan Krismas dan perayaan Tahun Baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

omicron, umrah, johor, arab saudi, R Vidyananthan