Pengeluarkan KWSP kali ketiga hanya menyusahkan pencarum — Tengku Zafrul


  • Primer
  • Jumaat, 31 Dis 2021

SEBELUM ini, ramai yang meminta pengeluaran wang KWSP untuk meringankan beban mangsa banjir. — The Star

CUKUPLAH dengan keizinan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini yang sudah lebih RM101 bilion.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata, kebanyakan ahli sudah mengeluarkan wang sebanyak RM21,000 hingga RM71,000 menerusi i-Lestari dan i-Sinar yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

"Secara keseluruhan, lebih tujuh juta pencarum yang telah mengeluarkan wang melalui KWSP.

"lebih kurang 74 peratus pencarum yang mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 dalam akaun KWSP mereka adalah golongan bumiputra," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat,

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP yang berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Menurut Tengku Zafrul, tambah membimbangkan ialah 79 peratus daripada golongan ini mempunyai simpanan kurang dari RM1,000.

“Kalau betul beberapa pihak ingin memperjuangkan nasib bumiputra, terutamanya orang Melayu, walaupun dah tahu ramai yang sudah tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat dan tujuan sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KWSP juga memainkan peranan penting di pasaran saham dan bon tempatan untuk menjana pulangan dividen kepada ahli dan menyediakan kecairan bagi kedua-dua pasaran berkenaan.

Jelasnya, sekiranya pengeluaran ini dibenarkan lagi, KWSP terpaksa menjual pegangan saham dan bon mereka di luar dan dalam negara secara besar-besaran dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, memberhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh tiga hingga enam bulan dan mengurangkan penyertaan dalam pasaran domestik buat sementara waktu.

“Langkah ini akan memberi impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan kerana peranan KWSP sebagai penyedia kecairan juga akan terjejas, selain mengekang keupayaan KWSP untuk menjana pulangan dividen.

“Apabila kecairan berkurangan, ini berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur lain yang akan turut serta menjual pegangan mereka, lantas mengurangkan lagi kecairan di pasaran.

“Ini akan mengakibatkan peningkatan kos pinjaman bagi seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu, syarikat, mahupun kerajaan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kwsp, tengku zafrul, bantuan, i-lestari, i-sinar