4 mayat ditemui terapung dekat Pulau Pangkor


  • 112
  • Khamis, 30 Dis 2021

KESEMUA mayat tanpa identiti ditemui kira-kira pukul 2.08 petang. — Facebook

TIGA mayat wanita dan satu mayat lelaki ditemukan terapung pada kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Kepulauan Sembilan, Pulau Pangkor, Lumut, Perak pada pagi Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (PUSOP) menerima maklumat awal berhubung penemuan empat mayat itu oleh komuniti maritim kira-kira pukul 9.05 pagi.

"Dalam pada itu, aduan yang sama turut diterima talian MERS 999 dan MRSC Langkawi, seterusnya disalurkan kepada Maritim Negeri Perak untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, Perak pada Khamis.

Beliau berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rutin rondaan Op Tanjung telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan kesemua mayat tanpa identiti kira-kira pukul 2.08 petang.

Bagaimanapun katanya sehingga kini, pihak Maritim Malaysia tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit.

"Maritim Malaysia Negeri Perak tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa kejadian ini terdapat unsur-unsur jenayah di laut dan siasatan lanjut akan dilaksanakan,” katanya.

Shahrizan berkata keempat-empat mayat tersebut dibawa ke jeti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak, orang ramai diminta mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini tidak menentu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram