MBSA baiki barang elektrik mangsa banjir percuma


  • Primer
  • Rabu, 29 Dis 2021

MBSA tawar perkhidmatan baiki peralatan elektrik rosak percuma kepada mangsa banjir.— Facebook

BANJIR melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini mengakibatkan kemusnahan harta benda termasuk peralatan elektrik.

Bagi mengurangkan beban keluarga yang terjejas, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil menawarkan khidmat membaiki peralatan elektrik secara percuma.

MBSA menawarkan perkhidmatan itu bagi peralatan elektrik rosak yang terpilih akibat banjir bermula Selasa hingga Sabtu.

MBSA dalam satu notis memaklumkan, antara perkakas elektrik yang boleh dihantar untuk dibaiki ialah periuk nasi, pemanas air, pengering rambut, radio dan barangan elektrik lain yang bersaiz kecil.

“Peralatan tersebut hendaklah dibawa ke pusat operasi di Dewan Azalea, Jalan Tokoh 25/28 Taman Sri Muda yang dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang,” menurut notis yang dikongsi MBSA di laman Facebooknya pada Selasa.

Perkhidmatan yang disediakan itu akan meliputi diagnosis kerosakan, pembersihan dan membaiki, namun kos barangan alat ganti ditanggung oleh pemilik.

Program khidmat masyarakat itu diadakan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) serta beberapa kumpulan NGO yang mahir dalam khidmat pertukangan dan membaiki perkakas elektrik. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sejauh manakah artikel ini memberi manfaat?