PDRM, bomba, ambulans saja tak perlu bayar tol — Plus


  • Massa
  • Selasa, 28 Dis 2021

HANYA beberapa kenderaan urusan rasmi dan kecemasan menerima pengecualian daripada pembayaran tol. — Plus

HANYA beberapa kenderaan untuk urusan rasmi dan kecemasan layak menerima pengecualian daripada dikenakan bayaran tol.

Plus Malaysia Bhd (Plus) berkata, ini termasuk kenderaan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat serta ambulans yang sedang menjalankan tugas.

"Perkara ini selaras dengan peruntukan konsesi dengan pihak kerajaan," katanya ringkas kepada Majoriti.

Terdahulu, media sosial kecoh apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan mendesak jurutol supaya mengikut kehendak mereka untuk menggunakan lebuh raya secara percuma.

Menerusi rakaman video, NGO tersebut mendakwa bahawa mereka secara sukarela memberi bantuan kepada orang ramai dan atas alasan itu mereka perlu dikecualikan daripada dikenakan bayaran tol.

Jurutol itu bagaimanapun enggan mengikut kehendak mereka dan tampil membidas kembali dengan menjelaskan bahawa kumpulan NGO tersebut tidak layak untuk dikecualikan daripada bayaran itu.

Tindakan NGO yang melakukan langkah kurang bijak itu akhirnya mengundang kecaman orang ramai yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan desakan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PLUS, PDRM, bomba, penyelamat, ambulans, tol, kerajaan