Rakyat bantah mansuh guna Touch 'n Go, SmartTAG di plaza tol


ADA pihak yang mencadangkan supaya kerajaan merujuk kepada sistem tol di Singapura sebelum melaksanakan pemansuhan kad Touch 'n Go dan SmartTAG. — The Star

CADANGAN kerajaan untuk memansuhkan penggunaan kad Touch 'n Go dan SmartTAG secara berperingkat di plaza tol mendapat kecaman ramai di media sosial sejak ia diumumkan pada Khamis.

Perkara itu diumumkan Kementerian Kerja Raya sebagai langkah untuk membolehkan para pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar seiring dengan perkembangan teknologi kini menerusi penggunaan sistem pembayaran tanpa sentuh RFID.

Bagaimanapun ramai pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan itu memandangkan pelaksanaan sistem berkenaan didakwa masih belum efisyen dan mempunyai pelbagai masalah.

Salah seorang pemilik akaun di Facebook, Zaidee Ismail meninggalkan komen menyatakan bahawa pengalamannya menggunakan RFID hanya indah khabar dari rupa.

"Pengesanan RFID lambat, kereta perlu betul-betul perlahan baru boleh dikesan semasa di tol.

"Sama sahaja, jalan akan sesak jika ada satu kereta yang sangkut di tol, sudah tahun 2021, gunalah teknologi yang lebih canggih," komennya.

rfid 1

Selain itu, pemilik akaun Cheah Kok Hau juga berkongsi perkara sama tentang sistem RFID yang didakwa masih belum efisien.

Katanya, sistem berkenaan bagus tetapi perlu penambah baik jika mahu dilaksanakan.

"RFID bagus tetapi pelaksanaan tidak seperti yang diharapkan. Sepatutnya, jika ada kereta sangkut kerana kredit RFID kurang lepaskan sahaja dan jadikan amaun dalam akaun negatif.

"Kemudian tolak sahaja hutang berkenaan selepas pemilik menambah nilai akaun mereka, jika tidak dibuat demikian, jalan raya akan tetap sesak," luahnya.

rfid 2

Sementara itu, ada juga pihak yang mencadangkan supaya kerajaan merujuk kepada sistem tol di Singapura sebelum melaksanakan pemansuhan kad Touch 'n Go dan SmartTAG.

Pemilik akaun, MoFaz AJ menyatakan perkara itu dan pada masa sama memberitahu sistem RFID di Malaysia masih belum lancar dan jika ada masalah kereta yang melalui lorong itu perlu mengundur untuk ke lorong lain.

"Buat sistem seperti di Singapura, RFID juga tetapi tiada masalah sangkut di tol.

"Kalau tidak cukup baki pun jalan sahaja, nanti bil sampai ke rumah, pengguna boleh rujuk untuk bayar balik dan beri masa dalam 30 hari atau saman," katanya.

rfid 3

Dalam pada itu, selain tidak bersetuju ramai juga pengguna yang berharap agar sistem tol di lebuh raya dapat dimansuhkan kerana dakwa mereka ia lebih efisien melancarkan trafik dan menjimatkan duit rakyat.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram