AKSI bahaya seorang kanak-kanak berdiri dan menari tanpa pengawasan orang dewasa di ruang muatan belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda, mengundang kebimbangan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya yang lain.
Video tular di laman Facebook berdurasi 19 saat itu memaparkan pemandu kenderaan berkenaan hanya membiarkan kanak-kanak terbabit berada di ruang muatan itu, sekali gus mengundang risiko terjatuh dan boleh membahayakan nyawanya serta orang lain.
Usia kanak-kanak itu dipercayai dalam lingkungan 12 tahun dan ada ketika dia sempat memanjat bumbung kenderaan tersebut.
Malah lebih mengejutkan pemandu itu sanggup membiarkan kanak-kanak tersebut terdedah kepada cuaca hujan.
Rakaman kejadian itu diambil ketika kenderaan tersebut berhenti di satu persimpangan lampu isyarat dipercayai di kawasan sekitar Gombak.
Bagaimanapun masa kejadian tidak dapat dipastikan dan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung rakaman tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram