Misteri batu nisan di 'Pulau Mayat' di Johor


  • Massa
  • Selasa, 28 Dis 2021

SEBAHAGIAN daripada kubur yang tidak dijaga di Pulau Merambong, sebuah pulau tidak berpenghuni berhampiran Gelang Patah di Johor Bahru, Johor. — The Star

PENGUNJUNG Pulau Merambong, berdekatan Gelang Patah, di Johor Bahru, Johor sudah pasti akan terkejut apabila mendapati kewujudan barisan batu nisan dekat tanah perkuburan yang tidak rata di pulau itu.

Kubur di pulau itu dipercayai milik kanak-kanak dan orang dewasa.

Pengusaha bot Samsuri Mohammad berkata, pulau kecil dan tidak berpenghuni yang mengambil masa 30 minit perjalanan menaiki bot dari Kampung Pendas Laut, Gelang Patah turut dikenali sebagai Pulau Mayat oleh komuniti nelayan tempatan.

"Nama alternatif itu diberikan kerana banyak batu nisan yang ditemui di pulau itu, dipercayai milik pedagang pengembara yang melalui pulau itu di sepanjang Selat Tebrau menuju ke destinasi mereka pada beberapa abad lalu.

"Mereka yang mati di atas kapal dikatakan dikebumikan di pulau kecil itu.

"Batu nisan itu berbeza-beza dari segi bentuk dan saiz, malah penduduk tempatan berpendapat ia juga menandakan kubur itu dimiliki oleh orang yang berbeza agama. Datuk saya pernah bercerita mengenai pulau itu ketika saya masih kanak-kanak," katanya.

Samsuri, 40, sering menyediakan perkhidmatan bot kepada badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan ke Pulau Merambong bagi aktiviti pembersihan pantai.

Beliau berkata, terdapat banyak sampah dihanyutkan di pulau tidak berpenghuni itu, manakala sukarelawan biasanya akan mengutip beg sampah untuk dibawa pulang ke tanah besar untuk dilupuskan dengan sempurna.

Pada masa sama, nelayan Kampung Pendas Laut, Safiee Mohamad, 45, berkata, terdapat lebih daripada 50 batu nisan di Pulau Merambong, dengan beberapa kubur dimiliki oleh kanak-kanak.

Beliau berkata, nama kampung itu berasal daripada perkataan 'terapung' kerana penduduk kampung percaya bahawa pulau itu terletak di belakang seekor ikan pari yang besar.

"Sesetengah penduduk kampung di sini percaya kubur di situ merupakan kubur pedagang yang dibunuh lanun kerana tidak memenuhi tuntutan mereka.

"Saya juga ada mendengar bahawa beberapa tahun lalu, ada orang yang menggali beberapa kubur tetapi tidak menemui apa-apa di dalamnya.

"Semuanya kekal misteri sehingga hari ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor Mohd Fauzi Rajimin @ Jeman berkata, kajian yang dijalankan pada 2014 menunjukkan bahawa pulau itu tidak mempunyai banyak penemuan geologi, meskipun ia mempunyai beberapa unsur sejarah dalam bentuk kubur.

Justeru, beliau mencadangkan kajian sejarah lanjut perlu dijalankan bagi memahami latar belakang pulau itu serta kisah di sebalik kubur.

Tambahnya, Pulau Merambong yang terletak hanya 1.4 kilometer (km) dari Singapura juga pernah dicadangkan untuk dijadikan taman laut, memandangkan ia adalah tempat perlindungan kuda laut, rumput laut dan dugong.

"Tetapi, kuda laut dan hidupan liar lain tidak ditemui semasa kajian kami dan padang rumput laut di pulau itu dikatakan semakin mengecil.

"Air di sekeliling pulau itu juga keruh. Ini mungkin disebabkan projek tebus guna tanah yang dijalankan kira-kira 1.2 km ke utara Pulau Merambong," katanya.

Katanya, pulau itu juga mempunyai rumah api yang didirikan oleh kerajaan pada 2010 selain sistem pemantauan radius. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram