MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menafikan pihaknya mengagihkan barangan sumbangan mangsa banjir yang disedekahkan orang ramai menggunakan nama agensi itu.
Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, proses pengagihan barangan sumbangan kepada mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilakukan dengan telus dan tiada unsur diskriminasi.
"Sepanjang membantu mengurus bersama PPS SMK USJ 23, pihak MBSJ berkemungkinan terdapat kekurangan dalam pelbagai aspek kerana memfokuskan kerja-kerja skop utama iaitu aktiviti pembersihan di kawasan yang terjejas.
"MBSJ bersama petugas agensi-agensi berkaitan serta semua sukarelawan terlibat telah berusaha sedaya upaya membantu dalam pengagihan barangan sumbangan tanpa isu pilih kasih sekaligus menjaga kebajikan yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, PPS pada asalnya diuruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Namun, jumlah PPS yang dibuka terlalu banyak serta faktor kekurangan petugas menyebabkan MBSJ mengambil inisiatif untuk menyalur bantuan dan bertindak sebagai 'pemudah cara' kepada agensi yang berkaitan.
Tambah Mohd Zulkurnain, pihaknya berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjaga kebajikan dan mengurus mangsa-mangsa yang berada di PPS.
Beliau turut menyeru para sukarelawan supaya meneruskan komitmen sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.
"Dalam mengurus bersama PPS ini amat menuntut pengorbanan, keikhlasan semua sukarelawan dan petugas-petugas daripada pelbagai agensi.
"Jasa sukarelawan yang bertugas di peringkat awal hingga ke hari ini tidak terbalas dengan kata-kata," ujarnya.
Sejak Ahad, tular satu video menunjukkan rakaman seorang wanita yang terlibat dalam membantu mangsa banjir menyoal tindakan petugas MBSJ yang didakwa mengambil kredit atas derma orang awam.
Pengguna Twitter, @adrndm mempersoalkan tindakan petugas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang meletakkan barangan yang disumbangkan orang ramai ke dalam beg yang tertera nama agensi itu sebelum diberi kepada mangsa banjir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram