Kepala air punca banjir Hulu Langat — MB Selangor


  • Primer
  • Selasa, 28 Dis 2021

AMIRUDIN berkata kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

BANJIR di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang dipercayai antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media pada Ahad.

"Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang diperolehi saya, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar," katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di negeri ini, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja-kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, telah memotong sebuah ban di kampung itu dan menjadi punca air melimpah.

"Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

"Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-ALLAH akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Amirudin Shari, kepala air, banjir, EKVE