Lagi desakan pengeluaran i-Citra kali terakhir


  • Primer
  • Isnin, 27 Dis 2021

PENGELUARAN KWSP secara 'one-off' sebanyak RM10,000 digesa oleh Pemuda Umno bagi meringankan beban rakyat. — Gambar hiasan/The Star

PERGERAKAN Pemuda Umno terus menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeluarkan RM10,000 secara 'one-off' menerusi kemudahan i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Pengarah Komunikasi Pemuda Umno Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, Ismail Sabri tidak seharusnya mendengar pandangan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebaliknya mendengar rintihan rakyat yang realitinya terdesak mahu meneruskan kelangsungan hidup.

“Dengan pengeluaran caruman KWSP terakhir ini, kami yakin, rakyat yang terjejas dapat merancang dan memulihkan kenderaan mereka untuk bekerja, menyediakan barangan peralatan keluarga serta membina kembali asas ekonomi mereka dengan baik.

“Gesaan ini bukanlah bersifat populis sebagaimana didakwa segelintir pihak, namun ia tercetus atas sifat realistik dan tradisi Umno yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik serta rasional kos sara hidup yang melambung baru-baru ini.

“Saya faham KWSP ini ditubuhkan sebagai tabungan hari tua serta saya menyambut baik peruntukan RM10 juta yang diumumkan bagi tujuan bantuan dan pemulihan banjir besar yang sedang berlaku di beberapa negeri ketika ini.

“Namun, saya minta Kementerian Kewangan untuk memahami kesengsaraan ekonomi rakyat yang belum pulih akibat pandemik Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP yang berjumlah RM10,000 meskipun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Jelas beliau, ini kerana kerajaan memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara pada ketika ini.

Tambah Syed Mohd Johan, meskipun bantuan kewangan RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir dilihat melegakan sedikit bebanan, namun ia tidak dapat menampung jumlah kerugian yang dialami mereka yang terjejas.

“Sedang mereka berusaha membina kehidupan kembali, tiba-tiba banjir besar melanda dan meruntuhkan sekali lagi ekonomi keluarga mereka yang sedang dibina.

“Contohnya, RM1,000 itu sudah tentu tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan barangan rumah yang musnah sepenuhnya (total lost) akibat banjir, apatah lagi membaik pulih kenderaan mereka yang dianggar melebihi RM4,000,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram