Pengeluaran KWSP tidak sesuai bantu mangsa banjir — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 26 Dis 2021

SUKARELAWAN membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor pada Sabtu. — Bernama

BENCANA banjir yang melanda negara terutamanya di kawasan Lembah Klang menggemparkan negara.

Hujan lebat yang berterusan sejak 17 Disember lalu menyebabkan ribuan mangsa terjejas malahan ada juga mangsa kehilangan nyawa serta dilaporkan masih gagal dijumpai.

Berikutan bencana tersebut, kebanyakan mangsa banjir menggesa agar kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara 'one-off' bagi meringankan beban mereka.

Bagaimanapun, menurut Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr Abu Sofian Yaacob, permintaan untuk mengeluarkan duit simpanan KWSP bagi mangsa banjir tidak sesuai lagi buat masa ini.

"Berkemungkinan mangsa banjir antara mereka yang pernah memohon pengeluaran wang KWSP tempoh hari. Kalau dibenarkan juga untuk dikeluarkan, simpanan hari tua akan berkurangan.

"Saya rasa mereka yang terkesan dengan banjir kebanyakannya berpendapatan RM5,000 sebulan ke bawah, simpanan juga tidak banyak.

"Gunakan medium bantuan yang diumumkan oleh kerajaan seperti moratorium dan penangguhan pembayaran," ujarnya kepada Majoriti.

Tambah Abu Sufian, banyak kaedah boleh dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa banjir.

"Saya memahami bencana banjir menyebabkan kehilangan harta benda bernilai puluhan ribu ringgit termasuklah kereta.

"Kita cuba kaedah sedia ada, sebagai contoh iaitu kereta. Kerajaan boleh menubuhkan atau mengiktiraf beberapa panel bengkel kereta supaya mangsa banjir tidak membayar caj terlalu tinggi untuk membaiki kereta.

"Kerajaan juga menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN) boleh membantu dari segi khidmat nasihat dalam membuat sebut harga bagi membaik pulih rumah dengan kadar yang munasabah.

"Pada pandangan saya, lupakan sementara untuk mengeluarkan wang KWSP, sebaliknya guna kaedah lain dan kerajaan turut dilihat berusaha memberikan pertolongan meringankan beban rakyat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram