Sah bukan muntah paus, tiada tiga bahan aktif


  • Primer
  • Khamis, 23 Dis 2021

SEORANG wanita dari Kemaman menjumpai objek yang dipercayai muntah ikan paus ketika memancing berhampiran jeti LKIM Marang. Terengganu pada akhir November lepas. — Agensi

KETULAN objek yang ditemui seorang wanita ketika sedang memancing di perairan Marang, Terengganu pada akhir November lepas disahkan bukan muntah ikan paus.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya telah mengambil sampel ketulan tersebut daripada wanita itu pada 15 Disember lepas untuk dianalisis di makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau berkata, hasil uji kaji penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun dan UMT mendapati, bahawa objek tersebut bukan muntah ikan paus kerana tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif iaitu 'ambrein', 'epicoprosterol' dan 'coprostanone' di dalamnya.

"Sebaliknya, kandungan yang dijumpai pada sampel itu mendapati ia terbentuk daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak lalu membentuk ketulan sedikit berfiber (berserabut).

"Secara saintifiknya, peratusan terbanyak yang terkandung di dalam ketulan tersebut ialah Pyrazole (94.56 peratus) dan Pyrrole (3.34 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 14 Disember lepas, media melaporkan seorang wanita dari Kemaman, Terengganu menjumpai objek yang dipercayai muntah ikan paus itu ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada akhir November lepas.

Susulan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah berkunjung ke rumah wanita tersebut pada keesokan harinya untuk mengambil sedikit sampel, bagi tujuan kajian sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau hanya gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.

Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, sebaik sahaja keputusan rasmi dikeluarkan pagi Rabu, satu perbincangan antara Jabatan Perikanan Malaysia dan UMT telah dilaksanakan dan keputusan itu turut disahkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Hasrizal Shaari.

"Analisis termal turut dilaksanakan bagi mengetahui takat lebur ketulan yang dijumpai. Melalui analisis tersebut, takat lebur ketulan yang dijumpai adalah 76.04˚C sedangkan takat lebur ambergris tulen ialah 82.32˚C.

"Dakwaan mengatakan ketulan tersebut mengeluarkan bau yang wangi adalah diandaikan daripada bahan 1H-Pyrazole, yang terdapat bersama ketulan tersebut dan bahan ini mempunyai salah satu struktur gegelang heterosiklik dan akan mengeluarkan bau atau aroma apabila dibakar," katanya.

Di Malaysia, hanya UMT satu-satunya universiti yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England.

Mengulas berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus pula, Ruzaidi berkata, ia tertakluk kepada Akta 686 iaitu Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Mengenai Spesies Terancam (CITES) daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

"Tanpa permit tersebut, pihak yang terlibat boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram