Koputra Bank Muamalat galakkan ahli menyimpan dalam bentuk emas


  • Bizz
  • Khamis, 04 Nov 2021

AHLI-ahli Koputra boleh membeli emas dan menyimpan dalam bentuk emas sebagai sumber pelaburan kakitangan untuk masa depan.

KOPERASI Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra) melancarkan Buku Simpanan Kelana Emas (BSKE) yang pertama di negara ini.

Ia merupakan produk baharu Koputra selepas berjaya meneroka perniagaan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

Menurut Pengerusi Koputra, Zaharuddin Alias, produk kewangan tersebut diwujudkan bagi menggalakkan ahli-ahli Koputra menyimpan dalam bentuk emas.

Katanya, ahli-ahli Koputra boleh membeli emas dan menyimpan dalam bentuk emas sebagai sumber pelaburan kakitangan untuk masa depan.

"Emas sebagai bahan yang bernilai tinggi sudah pasti merupakan pelaburan terbaik untuk ahli-ahli Koputra sahaja.

"Cawangan pertama Ar-Rahnu Koputra di Seri Kembangan dan Bangi telah menjana RM14 juta pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ar-Rahnu ketiga Koputra dan Kedai Kelana Emas pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jaafar Ahmad di Wisma Koputra 2 Taming Jaya Seri Kembangan, Selangor.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Koputra, Ghazali Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhaimin Jewels & Gems, Amin Abu Muhammad.

Sementara itu, Ghazali berkata, cawangan ketiga Ar-Rahnu dan kedai emas pertama Koputra tersebut akan menjadi pusat sehenti untuk ahli-ahli koperasi dan orang ramai berurus niaga.

"Para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan membeli, menjual, pajakan, mencuci dan menyimpan emas di sini.

"Kontrak Ar-Rahnu yang diluluskan SKM ialah kontrak Tawarruq yang mana pembiayaan yang kami tawarkan cagaran 80 peratus nilai emas berjumlah sehingga RM500,000," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram