BANTUAN bekalan makanan serta kelengkapan peralatan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan di Kelantan diletakkan dalam mod sedia (standby mode) sekiranya gelombang kedua banjir melanda negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, tindakan itu dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu meskipun amaran atau ramalan hujan dan banjir telah dikeluarkan di kawasan tertentu.
"Ketika saya melakukan tinjauan di PPS sebelum ini, rata-rata mangsa banjir yang ditemui memaklumkan kepada saya bahawa mereka sedang bersiap untuk menghadapi gelombang kedua banjir dengan menyimpan dokumen penting, ubat, makanan asas dan sebagainya.
"Oleh itu, kerajaan Kelantan juga sedang mengambil langkah perlu untuk berdepan dengan situasi atau sebarang kemungkinan yang berlaku sama ada teruk atau tidak kerana banjir ini adalah luar jangka," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mumtaz berkata, sebelum ini juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperuntukkan RM1.3 juta bagi kerja membaik pulih PPS, 3,000 kit makanan kering yang diagihkan ke depoh-depoh diselia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 1,600 aset seperti bot dan trak dan 6,500 anggota daripada pasukan penyelamat di negeri ini diatur gerak bagi menghadapi Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.
"Kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri sangat perlu dalam memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat di negeri ini diutamakan terlebih dahulu.
"Apa yang paling penting sekarang ini adalah peranan semua pihak yang perlu sentiasa waspada dengan situasi semasa dan patuh dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sekiranya dikehendaki berpindah ke PPS terutama penduduk di kawasan berisiko tinggi," katanya.
Untuk rekod, menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah tertinggi mangsa banjir di Kelantan direkodkan pada 20 Dis lalu melibatkan seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga di 57 PPS membabitkan lima jajahan iaitu Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram