
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan kerajaan bahawa rakyat Malaysia tidak akan melupakan kelemahan mereka dalam menangani bencana banjir.
Bekas Menteri Besar Johor itu menambah, bencana banjir berpunca daripada kesan perubahan iklim yang teruk melanda negara dan rakyat sangat perit melihat kehilangan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh ramai rakyat Malaysia.
“Di sebalik kesedihan yang melanda negara dan bangsa, telah terbit satu pengajaran yang sangat besar. Malaysia adalah 'more a society and less state',” katanya dalam catatan Facebook pada Ahad.
Kebaikan, bantuan serta segala daya usaha orang persendirian dan badan bukan kerajaan membuktikan bahawa cerita dan nilai Malaysia yang sebenarnya ialah setiakawan, perpaduan, toleransi dan gotong-royong, tambahnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambilnya sebagai pengajaran kerana kelemahan kerajaan dalam menguruskan krisis itu tidak akan dilupakan oleh rakyat.
Tanpa menyebut nama, Mohamed Khaled turut mengecam beberapa wakil kerajaan dalam menangani situasi banjir.
Beliau berkata, seorang wakil kerajaan yang baru-baru ini bercakap di peringkat antarabangsa bahawa perubahan iklim tidak memberi kesan besar kepada Malaysia mesti belajar memahami data sebelum membuat kenyataan sedemikian.
“Wakil kerajaan yang keliru tentang fungsi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta bagaimana harus ia dikelolakan, wajar melakukan perkara yang paling terhormat dan meletakkan jawatan.
“Seorang wakil kerajaan yang berpakaian kemas berbaju Melayu semata-mata untuk melancarkan gerakan sukarelawan telah mencetuskan kemarahan rakyat,” tambahnya.
Mohamed Khaled juga memberitahu, yang paling malang ialah ketiadaan ramai wakil kanan dan bukan kanan dalam Kabinet semasa krisis seperti itu amat dikesali kerana nampaknya ramai yang telah pergi bercuti meninggalkan negara dalam keadaan kucar-kacir.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nampaknya bersendirian dalam pengurusan kemelut ini.
“Walaupun beliau segera turun padang dan gigih mengumumkan pelbagai campur tangan kerajaan, kemarahan rakyat terhadap prestasi anggota Kabinet yang lain amat sukar dibendung.
“Mereka sedikit pun tidak mempamerkan kebingkasan setimpal dengan 90% markah pencapaian prestasi mereka,” katanya sambil menambah bahawa masalah yang Malaysia perlu selesaikan adalah kerajaan mewarisi Kabinet yang lemah daripada kerajaan Perikatan Nasional yang gagal.
Beliau memberi amaran bahawa Malaysia akan terus menghadapi lebih banyak lagi krisis alam sekitar dan ekonomi yang tidak dijangka.
Oleh itu, negara memerlukan anggota kerajaan yang berprestasi dan kompeten.
“Perdana Menteri mempunyai peluang untuk mengatur semula perkara ini dan beliau tahu bagaimana untuk melakukannya kerana rakyat telah menghantar isyarat yang jelas.
“Segala perkembangan mutakhir ini menunjukkan bahawa 'kedudukan semasa kerajaan' adalah rumus pentadbiran yang tidak sesuai lagi untuk Malaysia,” tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram