"RAKYAT sudah tiada masa hendak dengar pengumuman. Lagipun televisyen semua dah tenggelam. Menteri bercakap di televisyen sejam sekali pun perut rakyat tak kenyang".
Itu komen yang diberikan bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin ketika ditanya berkenaan arahan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya agensi membuat sidang media setiap hari ketika bencana banjir melanda.
Menurut Anina, air banjir sekarang sudah surut dan kalau nak buat sidang media pun, buatlah ketka air di paras dada.
"Apa yang sepatutnya ialah segerakan pelan kecemasan bantuan pemulihan kerana ramai yang hilang segalanya. Ramai yang cuma tinggal lantai, dinding dan bumbung sahaja. Rakyat tinggal sehelai sepinggang.
"Bukan sahaja kereta dan perabot rumah hilang, malah pakaian pun dah tiada. Bukan itu sahaja, dapur nak masak pun dah hilang. Bantu rakyat mulakan hidup. Ini bukan masa nak buat pengumuman harian," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Anina turut menganggap tanggungjawab yang dipikul Ismail Sabri sebenarnya berat kerana boleh memberi kesan kepada kerajaan khususnya parti UMNO.
Jelasnya, ini bukan masa untuk berpolitik kerana jika Ismail gagal, yang akan terkesan ialah parti politiknya sendiri.
"Rata-rata di media sosial rakyat zahirkan kemarahan. Ini bukan perang politik, tetapi seolah-olah kerajaan sedang berperang dengan rakyat yang kecewa dan marah," katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook pada Khamis mengarahkan kesemua agensi yang terlibat dengan bencana banjir untuk mengadakan sidang media harian Ops Banjir.
Ismail Sabri melalui catatan di laman Facebook rasmi beliau berkata sidang media itu bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana.
"Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram