Perak luluskan 33,000 hektar hutan untuk pembalakan


  • Primer
  • Isnin, 20 Dis 2021

AKTIVITI pembalakan hanya dilaksanakan di kawasan HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran. — Sinar Harian

KERAJAAN Perak meluluskan 33,000 hektar bagi aktiviti pengusahasilan hutan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 pada kadar 6,600 hektar setahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengusahasilan dalam HSK itu berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan.

Menurutnya, bagaimanapun sebarang aktiviti berkenaan dilaksanakan di kawasan HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran sahaja.

"Pematuhan keluasan kawasan HSK untuk pembalakan selaras dengan keputusan Majlis Tanah Negara bagi menjamin keberkekalan dan kestabilan sumber bekalan kayu di Perak.

"Proses pelesenan mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) yang dilaksanakan secara sistematik dan terkawal di bawah Pengurusan Hutan Secara Berkekalan," katanya ketika menjawab soalan lisan Aminuddin Zulkipli (Amanah-Behrang) sempena Persidangan Keenam, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di Ipoh, Perak pada Jumaat.

Dalam pada itu, Saarani memaklumkan, status terkini bagi kawasan hutan simpan yang diluluskan bagi tujuan pembalakan tahun 2019 seluas 8,058 hektar dan kesemua kawasan selesai dibalak.

Menurutnya, bagi tahun 2020 pula, daripada 6,642 hektar yang diluluskan seluas 6,182 hektar telah selesai dibalak manakala seluas 460 hektar masih belum dan sedang diusahakan.

Jelasnya, untuk tahun 2021, kawasan seluas 5,337 hektar telah diluluskan bagi tujuan pembalakan dengan kawasan seluas 1,334 hektar selesai dibalak manakala seluas 4,003 hektar masih belum dan sedang diusahakan.

Saarani turut menjelaskan sehingga kini, tiada sebarang pencemaran dilaporkan berlaku dalam kawasan Hutan Tadahan Air kerana ia dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

"Langkah mitigasi akan diambil bagi mengatasi pencemaran air sungai di dalam kawasan HSK dan setiap aktiviti pembangunan hutan disyaratkan untuk menubuhkan Zon Penampan (Buffer Zone) dengan kelebaran sekurang-kurangnya 10 meter di kiri dan kanan dan mengikut kelebaran sungai bagi mengurangkan kesan 'water run-off'.

"Bagaimanapun, sekiranya sebarang pencemaran dikesan tindakan pemulihan akan dilakukan dengan mengambil kira pandangan agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Perak," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Saarani Mohamad, balak, hutan, perak, alam sekitar