Polis temui dadah RM33,260 di Pasir Mas, buru lelaki 45 tahun


  • 112
  • Sabtu, 25 Dis 2021

PEMERIKSAAN lanjut menemukan 87.5 gram heroin, 324 biji pil kuda dan 1.0 gram syabu. — The Star

SEORANG lelaki berusia 45 tahun menjadi buruan polis susulan penemuan satu beg silang mengandungi dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda di Kampung Perah Slow Machang, Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komissioner Mohd Nasaruddin M Nasir, kesemua dadah yang ditemui dalam beg silang berkenaan dianggarkan bernilai RM33,260.

"Beg silang itu ditemui ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menjalankan Op Narkotik di kampung terbabit pada 6.45 petang.

"Ketika operasi itu anggota ternampak sebuah kereta Proton Wira diletakkan di tepi hutan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di kampung itu yang dilihat mencurigakan," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, anggota yang menghampiri kereta itu mendapati keadaan kereta itu terkunci tetapi pada masa sama terdengar bunyi pergerakan di dalam kawasan hutan berhadapan rumah tersebut, anggaran jarak 20 meter.

Jelasnya, pihaknya terus berlari masuk ke kawasan hutan tersebut tetapi mendapati tiada kelibat orang dan ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan sekitar kawasan telah menjumpai satu beg silang mengandungi pelbagai jenis dadah dan barang peribadi milik suspek.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 87.5 gram heroin, 324 biji pil kuda dan 1.0 gram syabu di dalam beg silang itu selain sekeping kad pengenalan, dua kad bank, wang tunai, dua unit telefon bimbit dan anak kunci bertulis Proton.

"Berdasarkan semakan ke atas kad pengenalan yang ditemukan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan kali terakhir ditahan adalah pada 16 Mei 2019 atas kesalahan sama," ujarnya.

Katanya, polis juga membuat serbuan susulan ke alamat rumah suspek namun didapati tiada penghuni namun tindakan susulan akan diteruskan untuk mengesan suspek.

Kes di siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram