Polis kesan trend baru edar bunga ganja


  • 112
  • Sabtu, 18 Dis 2021

SINDIKET menggunakan teknologi canggih bagi tujuan penanaman serta penjagaan pokok ganja itu. — Ihsan PDRM

POLIS mengesan modus operandi baharu aktiviti pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang mengaut keuntungan melalui hasil penjualan bunga ganja bernilai tinggi di pasaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, penemuan itu terbongkar apabila empat lelaki warga tempatan menganggotai sindiket terbabit diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 14 Disember lepas.

Beliau berkata, serbuan pada 10 pagi itu, tiga suspek ditahan di kawasan Brickfields sementara seorang lagi ditahan di Shah Alam masing-masing berumur lingkunngan 22 hingga 36 tahun.

"Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket bergiat aktif mengimport benih ganja dari luar negara selain turut menggunakan teknologi canggih bagi tujuan penanaman serta penjagaan pokok ganja itu.

"Ia dijual dalam bentuk timbangan auns dengan harga RM2,800 bagi setiap satu auns (28 gram) dan ia hanya dijual kepada pelanggan tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.

WhatsApp Image 2021-12-17 at 19.20.27

SEBAHAGIAN hasil rampasan bunga ganja dan peralatan memproses dadah. — Ihsan PDRM

Hasil kedua-dua serbuan, polis merampas bunga ganja seberat 4.555 kilogram (kg), daun-daun kering disyaki daun ganja seberat 0.72 kg, tujuh biji benih ganja seberat 0.67 gram selain lapan batang pokok ganja dengan nilai keseluruhan rampasan dadah itu bernilai kira-kira RM 491,520.

"Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz serta motosikal jenis KTM bernilai RM95,000,” katanya.

Ujian saringan mendapati tiga suspek positif dadah THC manakala dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, rampasan, bunga ganja, taktik baharu,