Polis tumpaskan Geng Apil suami isteri aktif curi kereta mewah di Kajang


  • 112
  • Selasa, 21 Dis 2021

GENG Apil yang telah dua tahun aktif melakukan jenayah curi kenderaan dan pecah rumah ditangkap polis pada 6 Disember lalu.

SEPASANG suami isteri yang mendalangi sindiket curi kenderaan dan pecah rumah dikenali Geng Apil, akhirnya tumpas selepas dua tahun aktif melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pasangan suami isteri masing-masing berusia 39 dan 45 tahun itu ditahan bersama dua lelaki yang juga ahli sindiket tersebut di sekitar Kajang pada 6 Disember lalu.

"Sindiket ini menyasarkan rumah mewah untuk dipecah masuk dan melarikan kenderaan mewah milik mangsa sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga lebih murah.

"Kenderaan yang dicuri akan ditempatkan di beberapa kawasan termasuk tempat letak kereta kondominum dan tepi jalan bagi mengelakkan aktiviti mereka disedari polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Selasa.

Susulan tangkapan itu, Mohd Zaid berkata, polis merampas lapan buah kenderaan mewah, antaranya jenis Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry dan Nissan Almera.

Mohd Zaid berkata, tiga suspek yang ditahan memiliki 36 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala wanita yang ditahan tidak memilki rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, dengan tangkapan tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun ini.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 serta 379 Kanun Keseksaan.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram