54,532 mangsa banjir berlindung di 334 PPS


  • 112
  • Sabtu, 25 Dis 2021

POLIS mengerahkan pasukan CDD ke seluruh negara untuk mengekang dan mencegah kecurian dan rompakan di kawasan banjir. — The Star

SERAMAI 54,532 mangsa banjir ditempatkan di 334 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurut beliau, setakat 4 pagi Sabtu (25 Disember), Pahang kekal paling teruk terjejas dengan 29,108 mangsa, diikuti Selangor dengan 23,702 mangsa.

"Seramai 46 mangsa terkorban dalam banjir dengan Selangor mencatatkan 25 kematian, diikuti Pahang 18 kematian dan Kelantan tiga.

“Lima mangsa masih dilaporkan hilang,” katanya pada sidang media di pusat operasi banjir Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada Sabtu (25 Disember).

Tambahnya, Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) juga sedang memantau sembilan sungai di Pahang, di mana dua sungai berada pada tahap berhati-hati, empat pada tahap amaran dan tiga diklasifikasikan sebagai berada pada tahap berbahaya.

“Di Selangor, tiga sungai diklasifikasikan pada tahap berhati-hati manakala satu pada tahap amaran manakala di Kelantan, dua sungai berada pada tahap amaran,” katanya.

Menurut beliau lagi, 94 pasukan CID terdiri daripada 377 pegawai dan anggota polis dikerahkan ke seluruh negara untuk mengekang dan mencegah kecurian dan rompakan di kawasan banjir.

“Kami sedang menyiasat 10 kes pecah masuk dan samun di premis serta lima kes curi kenderaan antara 17 Disember dan Jumaat (24 Disember).

"Setakat ini, 68 jalan masih ditutup akibat banjir.

“Sebanyak 46 jalan ditutup di Pahang, 14 jalan di Selangor, lima di Negeri Sembilan dan tiga di Kelantan,” ujarnya.

Mengenai dakwaan kejadian mangsa banjir menceroboh rumah orang lain untuk berteduh, Acryl Sani berkata sekiranya kejadian itu berlaku, polis akan menyiasat berdasarkan laporan polis yang dibuat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram