
PENGGUNAAN rangkaian generasi kelima (5G) di Malaysia dijangka perlahan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga Research).
Menerusi nota penyelidikannya pada Jumaat, Unifi mudah alih dan YES kekal sebagai satu-satunya pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dengan perkhidmatan 5G.
"Walaupun Unifi dan YES membuat langkah pertama, MNO utama (Celcom, Digi, Maxis dan Umobile) tidak tergesa-gesa menyertai Rangkaian Borong Tunggal (SWN) Digital Nasional Bhd (DNB)” katanya.
Kenanga Research berkata, rundingan antara DNB dan MNO masih berterusann serta DNB semakin akur dengan permintaan MNO.
"Selain itu, bukan semua peranti 5G sesuai. Telefon tertentu, iaitu iPhone Apple yang popular, belum lagi sesuai dengan rangkaian 5G DNB, berikutan perlu ada pensijilan peranti dan kemas kini perisian daripada pengeluar peranti untuk membolehkan sambungan kepada rangkaian 5G DNB,” katanya.
Katanya, berbanding rakan serantau di Asia Tenggara dan Asia Timur, Malaysia ketinggalan dalam pelaksanaan 5G, berikutan kebanyakan ekonomi serantau telah melancarkan 5G pada 2019 dan 2020.
YES dan Unifi mudah alih menjadi dua pengendali pertama mendaftar kepada SWN DNB pada minggu lepas, dengan YES mengiklankan pakej 5G sebagai yang pertama di Malaysia.
"Walaupun terdapat harapan bahawa pihak-pihak yang berkaitan (MNO, DNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat mencapai kata sepakat dan menandatangani perjanjian pada suku pertama tahun kalendar 2022, kami terus berhati-hati dan percaya mungkin terdapat kelewatan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram