74 peratus rakyat Malaysia semakin ke arah 'cashless'


  • Bizz
  • Isnin, 08 Nov 2021

49 peratus rakyat negara ini tidak membawa wang tunai yang banyak dalam dompet mereka. — Gambar hiasan

SEBANYAK 74 peratus rakyat negara ini semakin beralih ke arah pembayaran tanpa tunai susulan pandemik Covid-19.

Menurut Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon, kajian tabiat pembayaran pengguna Visa yang dijalankan turut mendapati 49 peratus rakyat pula tidak membawa wang tunai yang banyak dalam dompet.

"Faktor utama rakyat tidak membawa wang tunai yang banyak adalah disebabkan mereka lebih menggunakan pembayaran tanpa sentuhan yang juga mewakili 77 peratus penggunaan cara bayaran.

"65 peratus pula menggunakan pembayaran kad tanpa sentuh manakala 47 peratus meningkatkan penggunaan pembayaran tanpa sentuh.

"Kajian juga menunjukkan bahawa pembayaran tanpa sentuh adalah kaedah pembayaran yang paling digemari oleh rakyat Malaysia untuk kategori seperti pasaraya dan pembelian runcit.

"Ini mungkin disebabkan oleh pembayaran tanpa sentuh dianggap sebagai cara pembayaran yang selamat kerana pemegang kad lebih mengutamakan kebersihan fizikal dan tidak perlu berinteraksi dengan sesiapa pun di terminal jualan," ujarnya.

Tambah Kong Boon, pandemik Covid-19 turut mempercepatkan proses digitalisasi negara dan mendorong penggunaan e-dagang sejak 2020.

"Menurut data VisaNet, perbelanjaan e-dagang menyaksikan pertumbuhan dua angka dari tahun ke tahun dan jumlah urus niaga di e-dagang juga meningkat lebih 50 peratus tahun ke tahun.

"Perbelanjaan rakyat Malaysia di platform 'marketplace' meningkat sebanyak 48 peratus, perniagaan dari rumah sebanyak 40 peratus dan perniagaan tempatan sebanyak 37 peratus.

"Kami percaya bahawa trend ini akan berterusan kerana terdapat peningkatan terhadap keadaan ekonomi negara dan keperluan untuk menyokong perniagaan tempatan," jelas beliau lagi. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram