
SAYA menulis surat ini bagi menyokong surat Tan Sri Lee Lam Thye bertajuk Pengajaran Banjir Yang Perlu Dipelajari, yang disiarkan oleh The Star pada 22 Disember lalu.
Saya berpendapat bahawa siasatan sewajarnya perlu dilakukan khusus di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
Penduduk di situ sudah bertahun-tahun mengadu bahawa mereka berdepan dengan masalah banjir, namun perkara itu tidak diendahkan. Bukankah kita ada pakar tempatan yang mengetahui cara untuk mengalirkan air ke tempat lebih selamat? Jika tiada pakar, maka kita perlu dapatkan bantuan orang asing.
Pegawai tempatan yang cuai perlu bertanggungjawab ke atas bencana banjir di sana, yang seolah-olah menjadi acara tahunan, ditambah pula dengan ada nyawa terkorban.
Persediaan perlu diambil segera disebabkan cuaca ekstrem di seluruh planet akibat pemanasan global, seterusnya membawa kemungkinan kepada berulangnya banjir besar ini.
Saya bersimpati kepada mangsa selain menggesa bank serta agensi kerajaan untuk memberi mereka bantuan secara percuma.
Pada masa sama, saya memuji sikap rakyat Malaysia tidak kira dari pelbagai kaum dan latar belakang yang tampil membantu mangsa.
Terdapat laporan bahawa mereka adalah dalam kalangan B40 (berpendapatan rendah), yang turut bermurah hati berkongsi apa sahaja yang mereka ada bersama orang lain tanpa mengira bangsa atau agama.
Tahniah juga kepada pertubuhan agama dan badan bukan kerajaan (NGO). Kerjasama akar umbi dalam kalangan pelbagai kaum semasa banjir ini mencerminkan semangat sebenar Keluarga Malaysia. — The Star
DR PETER JOSEPH PEREIRA
Subang Indah, Selangor
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram