UMT kaji sampel muntah paus di Marang


  • Primer
  • Jumaat, 17 Dis 2021

SAMPEL kandungan lemak yang sama seperti ketulan ambergris atau muntah ikan paus tulen yang ditemui di perairan negara. — Bernama

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) akan membuat analisis terhadap objek yang didakwa muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang wanita di Marang, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, pihaknya telah menerima sampel tersebut daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

"Kita terima sampel seberat empat gram itu malam tadi (Khamis) dan keputusan analisis akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

"Ini selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang terjalin antara UMT dengan Jabatan Perikanan untuk sentiasa bekerjasama dalam apa sahaja berkaitan spesies marin terancam dan kelautan," katanya.

Selasa lepas, media melaporkan seorang wanita dari Kemaman menjumpai objek yang dipercayai muntah ikan paus itu ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada akhir November lepas.

Susulan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah pergi ke rumah wanita tersebut keesokannya untuk mengambil sedikit sampel, bagi tujuan kajian sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau hanya gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.

Di Malaysia, hanya UMT satu-satunya universiti yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England.

Muntah ikan paus yang bernilai tinggi akan mempunyai bahan aktif yang terdiri daripada tiga bahan utama iaitu ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).

Mengikut rekod UMT, sebanyak 18 sampel objek yang didakwa muntah ikan paus telah dibuat kajian setakat ini, namun hasil analisis yang dijalankan mendapati kesemua sampel tersebut tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif itu dan tidak mempunyai harga di pasaran.

Beliau berkata, ramai yang tidak sabar untuk mengetahui apakah objek ditemui wanita tersebut adalah muntah ikan paus yang asli atau sebaliknya dan mengakui turut teruja untuk menjalankan proses analisis tersebut.

"Proses analisis ini hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kuantiti sampel yang diberikan, bakinya akan kita kembalikan kepada Jabatan Perikanan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram