
SYARIKAT pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Khamis mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021).
Ia merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit, dengan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.
Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB yang telah diagihkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990 adalah sebanyak RM168.5 bilion.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio yang dilakukan telah membuahkan hasil positif.
Menurutnya, prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar dan ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan.
“Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9 peratus pada 2020 kepada 8.2 peratus tahun ini. Ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7 peratus kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2 peratus tahun lepas.
“Pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami.
“Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12 bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram