Dividen ASB, KWSP 2021 dijangka naik — Pakar


  • Massa
  • Isnin, 13 Dis 2021

PENGLIBATAN PNB dalam ekuiti pelaburan di luar negara sedikit sebanyak membantu menjana pendapatan organisasi itu. — The Star

DIVIDEN pelaburan di dalam unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun 2021 dijangka sedikit meningkat berbanding tahun 2020, kata Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.

Menurut beliau, bagaimanapun peningkatan itu berkemungkinan berlaku pada kadar sama iaitu sekitar empat hingga lima sen seunit seperti tahun lalu.

"Jumlah dividen pelaburan dijangka meningkat susulan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih dan aktiviti pelaburan yang memberikan pulangan memberangsangkan.

"Tidak seperti tahun lalu, keadaan ekonomi kita semakin baik, malah kerajaan juga yakin dapat mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga hingga empat peratus," katanya kepada Majoriti.

DRRAZMAN

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.

Tambah beliau lagi, meskipun Dagangan Bursa Malaysia masih belum berada pada paras yang memberangsangkan, penglibatan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam ekuiti pelaburan di luar negara sedikit sebanyak membantu menjana pendapatan organisasi itu.

Katanya lagi, begitu juga dengan KWSP yang tidak terjejas dalam pasaran kewangan domestik dan masih kekal sebagai pemain terbesar dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Jelasnya, walaupun berlaku pengeluaran caruman melalui skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang mencecah jumlah RM101 bilion, ia idak memberi impak negatif ke atas pelaburan MGS.

"Selain pelaburan MGS, KWSP juga mampu mengimbangi pengeluaran yang berlaku menerusi kemasukan modal dari pencarum baharu setiap bulan.

"Ia sekali gus menyumbang kepada kestabilan pendapatan organisasi itu," ujarnya.

Tahun lalu, kadar dividen ASB diumumkan menurun pada kadar 4.25 sen seunit dengan pecahan 3.5 sen bagi kadar dividen dan 0.75 sen bagi bonus berbanding 5.50 sen seunit pada tahun 2019.

Jumlah itu juga lebih rendah berbanding kadar dividen KWSP untuk tahun sama yang dicatatkan pada 5.20 peratus (konvensional) dan 4.9 peratus untuk pelaburan syariah.

Kebiasaannya, pengumuman tentang dividen ASB dan KWSP dibuat pada minggu terakhir bulan Disember setiap tahun.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmed Razman Abdul Latif, asb, kwsp, dividen