PM arahkan agensi terlibat adakan sidang media harian Ops Banjir


  • Primer
  • Khamis, 23 Dis 2021

RAKYAT perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda. — The Star

SEMUA agensi yang terlibat dengan bencana banjir perlu mengadakan sidang media harian Ops Banjir, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Khamis.

Menurut beliau, perkara itu bertujuan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana.

"Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri," katanya.

Sementara itu di laman sosial Twitter pula, Ismail Sabri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai Khamis.

Beliau turut menyenaraikan urutan sidang media seperti berikut;

1. Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada 10 pagi

2. Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang pada 12 tengah hari.

3. Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid 2 petang

4. Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim pada 4 petang.

ismail tweet

Kata Ismail Sabri lagi, beliau yakin laporan tersebut dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara.

Jelas beliau lagi, penglibatan seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana berkenaan harus berada di tahap sentiasa bersedia.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram