JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada Khamis menemukan dua beranak yang dilapor hilang semasa meredah banjir di padang bola di Temerloh pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani.
Menurutnya, mayat Musa Ahmad, 53, ditemukan pada 10 pagi manakala mayat anaknya Mohd Airall Zikree, 10, dijumpai pada 11.50 pagi.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi akhir mereka dilihat.
"Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu dua beranak itu dilapor hilang dipercayai dihanyutkan arus deras semasa meredah banjir di padang bola berhampiran bangunan Umno di Mentakab, Pahang.
Sementara itu dalam kes lain, Ismail turut memberitahu, seorang lelaki Rostam Che Su, 34, dikhuatiri lemas selepas dilapor hilang semasa meredah air melimpah di kawasan berhampiran parit di Felda Chini 2, Pekan pada 11.05 pagi, Khamis.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus semasa sebuah ladang di situ bersama bapanya dengan menunggang motosikal secara berasingan.
"Bapa mangsa mendakwa cuba mencari anaknya, namun hanya menemukan motosikal menyebabkan dia menghubungi talian kecemasan.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan melibatkan 10 pegawai dan anggota dari balai Chini dan Pekan, Pahang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram