
SAYA merujuk laporan "Detik hangat di Parlimen apabila ahli Parlimen menuntut jawapan mengenai banjir" (The Star, 20 Dis; dalam talian di https://bit.ly/3mnF0Eg).
Saya rasa amat kecewa apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat menafikan permintaan beberapa penggubal undang-undang untuk membahaskan langkah kerajaan membantu mangsa banjir teruk yang melanda lima negeri pada hujung minggu terutamanya yang melibatkan kematian.
Yang Dipertua berkata, perkara itu tidak boleh dibahaskan kerana ia tidak disenaraikan dalam kertas perintah dan berkeras untuk mematuhi prosedur Parlimen.
Beliau sepatutnya tahu ada pihak yang sanggup melanggar peraturan dan undang-undang demi menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir.
Pertama sekali, Yang di-Pertuan Agong mengetepikan protokol dan mengharungi air banjir untuk menilai keadaan di kawasan banjir.
Angkatan Tentera turut bertindak untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan tanpa menunggu sebarang arahan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Saya membaca banyak cerita di media sosial tentang orang ramai yang membatalkan rancangan percutian mereka untuk membantu mangsa banjir.
Malah, ada orang yang membelanjakan wang mereka sendiri bagi membeli bot untuk digunakan dalam usaha menyelamat.
Saya pasti wang yang mereka belanjakan bukan sebahagian daripada belanjawan bulanan mereka.
Beberapa rakan saya yang baru sahaja tamat tempoh kuarantin setelah pulang ke tanah air segera membuat rancangan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Pada akhirnya, rakyat sendiri yang mengambil insiatif sama ada secara berkumpulan atau individu untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Tolong jangan biarkan Dewan kita yang mulia menjadi tuli terhadap rayuan rakyat. — The Star
Pipe Lock 8
Pulau Pinang
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram