SUNTIKAN penggalak vaksin Sinovac diakui 94 peratus berkesan terhadap varian Omicron, kata Pharmaniaga Bhd.
Perkara itu diakui syarikat berkenaan berdasarkan data awal daripada kajian oleh Sinovac Biotech Co Ltd.
Menurutnya dalam satu kenyataan, kajian itu melibatkan dua strain varian baharu dari Hong Kong.
Berdasarkan kajian itu, keputusan makmal ujian terhadap satu daripada strain Omicro menunjukkan 35 peratus daripada 20 sampel serum (7/20) daripada penerima dua dos CoronaVac diuji positif untuk antibodi peneutral.
"Manakala 94 peratus daripada 48 sampel (45/48) daripada penerima tiga dos diuji positif untuk antibodi peneutral.
"Bagaimanapun, ujian perbandingan menggunakan strain virus Omicron lain sedang dijalankan," katanya.
Tambah Pharmaniaga, Sinovac sedang menjalankan kajian lanjut melibatkan sera dengan paras antibodi yang berbeza.
Katanya lagi, kajian itu dilakukan pada pelbagai masa selepas imunisasi untuk mencapai penilaian yang menyeluruh mengenai impak Omicron terhadap vaksin.
"Kajian ini menyokong kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negara Sinovac Biotech Weining Meng yang menyatakan suntikan penggalak yang diberi pada sela masa antara enam dan 12 bulan selepas dos kedua akan melonjakkan kekuatan tindak balas imun dengan titer min geometri (GMT) meningkat kepada kira-kira 140," jelasnya.
Meng berkata, GMT pada enam bulan selepas dos ketiga lebih tinggi daripada tahap tertinggi dos kedua.
"Selain itu, kajian turut menunjukkan ketahanan antibodi yang lebih tinggi enam bulan daripada dos penggalak berbanding dos kedua, menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama daripada COVID-19 dan varian baharu,” tambah Meng.
Pharmaniaga berkata, kajian saintifik ini juga selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam yang meminta semua penerima Sinovac dewasa dan mereka yang berumur 60 tahun ke atas, tanpa mengira jenis vaksin mereka, mengambil suntikan penggalak menjelang akhir Februari 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram