Banjir jejas 98 jalan persekutuan, 126 jalan negeri — Nadma


  • Primer
  • Selasa, 21 Dis 2021

KEADAAN jalan di laluan ke Kampung Sungai Lui ditutup ekoran terdapat rekahan selepas dilanda banjir ketika tinjauan di Hulu Langat pada Selasa. — Bernama

SEBANYAK 98 jalan persekutuan dan 126 jalan negeri terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, Pahang dan Kedah, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Laluan terjejas membabitkan kejadian banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak di 224 lokasi di tujuh negeri itu setakat jam 2 petang pada Selasa.

"Ada laluan yang masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan ada antaranya dibuka untuk kenderaan berat," kata Nadma dalam kenyataan pada Selasa.

Laluan yang telah dibuka untuk semua jenis kenderaan termasuk jalan Jeli-Dabong, Kuala Krai dan jalan Padang Kambing, Alor Gajah, Melaka.

Dua laluan yang hanya dibuka untuk kenderaan ringan ialah jalan GAP-Bukit Fraser, Hulu Selangor dan jalan Jenderam-Sepang.

Antara laluan yang dibuka untuk kenderaan berat ialah jalan Seri Keledang, Hulu Selangor, jalan Kampung Jenjarom, Kuala Langat dan jalan Banting-Semenyih di Selangor, manakala di Pahang jalan Jerantut-Maran, jalan Bukit Setongkol 2, Kuantan, Jalan Desa Mesra, jalan utama Jengka Utara/Selatan, Maran dan jalan Pekan-Batu Balik, Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, Nadma, jalan, tutup