SEORANG warga emas di Malang Selatan, Indonesia dilaporkan dihanyutkan banjir ketika sedang membuang air besar di Sungai Pangaluran.
Mangsa, Sih Mianto, 80, penduduk Dusun Rowoterate, Desa Sitiarjo, di wilayah Malang dilaporkan hanyut dibawa banjir kira-kira jam 5 pagi pada Selasa.
Operasi pencarian yang melibatkan pasukan gabungan tengah dilakukan di aliran Sungai Pangaluran di lokasi mangsa dilaporkan hanyut.
Ketua Darurat dan Logistik Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Wilayah Malang, Sadono Irawan mengesahkan mangsa hilang akibat dibawa arus deras sungai ketika mangsa sedang membuang air besar.
"Ya benar, sekarang sedang dilakukan pencarian," kata Sadono ketika dihubungi DetikNews melalui WhatsApp pada Selasa.
Sadono menjelaskan, ketika kejadian, aliran Sungai Pangaluran cukup deras memandangkan hujan lebat berlaku sehari sebelumnya.
"Mangsa berkemungkinan dibawa arus sungai, dan setakat ini masih belum ditemui. Ketika kejadian, mangsa sedang membuang air besar," jelasnya.
"Keluarganya sebelum ini panik dan melaporkan kehilangan mangsa pagi Selasa. Usaha mencari mangsa kemudian diteruskan di Sungai Pangaluran, kerana mangsa mempunyai tabiat buang air besar di sungai tersebut," katanya.
Katanya lagi, pakaian mangsa turut ditemui di tebing sungai sekali gus menguatkan dakwaan yang mengatakan mangsa hilang selepas dihanyutkan banjir. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram