DBKL gerakkan aset air ke Taman Sri Muda


  • Primer
  • Selasa, 21 Dis 2021

PENDUDUK tempatan menyeberangi laluan dinaiki air di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada Isnin. — The Star

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menggerakkan aset air Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi lain di bawah kementerian itu, bagi mempercepatkan urusan mengeluarkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sebanyak 10 bot daripada pihak berkuasa tempatan itu serta aset-aset bantuan lain, telah digerakkan ke kawasan terbabit.

"Keadaan banjir sudah berkurang di Wilayah (Kuala Lumpur), saya kerahkan mereka untuk datang di sini (Taman Sri Muda).

"Setakat ini yang ada di sini sudah dua pasukan penguatkuasa daripada semalam. Pasukan tambahan daripada DBKL dalam proses perjalanan ke sini,” katanya pada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada Isnin.

Shahidan berkata, pihaknya juga menyiapkan 2,000 pek makanan untuk diagihkan pada Isnin, manakala sebanyak 3,000 lagi akan diagihkan pada Selasa.

"Keperluan lain dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami akan bagi jika ada permintaan,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram