Kehabisan makanan, mangsa banjir di Taman Sri Muda terpaksa pecah masuk kedai serbaneka


  • 112
  • Isnin, 20 Dis 2021

KEJADIAN tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 1 hingga 2 petang berikutan kawasan tersebut teruk dilanda banjir.— Facebook

MANGSA banjir terpaksa memecah masuk beberapa buah kedai serbaneka di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Difahamkan, mangsa-mangsa banjir tersebut terpaksa berbuat demikian kerana kehabisan bekalan makanan selepas terkandas dalam banjir selama dua hari di taman berkenaan.

Kejadian tersebut juga tular selepas satu klip video berdurasi 11 saat dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial Facebook, Anne Abdullah.

Kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Menurut beliau, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 1 hingga 2 petang berikutan kawasan tersebut teruk dilanda banjir.

"Saya mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai serbaneka berlaku di Taman Sri Muda iaitu kawasan yang mengalami banjir teruk.

"Pihak polis dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menggerakkan elemen cegah jenayah dan bantuan untuk memastikan keadaan terkawal di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram