KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan untuk menghentikan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengelakkan masalah kewangan dalam kalangan pesara kelak.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan perkembangan semasa melibatkan ekonomi negara yang semakin pulih di samping rakyat juga tidak lagi dikenakan sekatan pergerakan sekali gus membolehkan mereka untuk kembali melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing.
Situasi itu juga menyebabkan kemudahan tersebut sudah tidak lagi relevan malah boleh memberikan impak yang negatif jika langkah terbabit masih lagi diteruskan.
"Data daripada KWSP yang memaklumkan 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 amat membimbangkan dan boleh memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi.
"Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP. Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin," jelasnya menerusi kenyataan dikeluarkan pada Rabu.
Tambahnya, berdasarkan data yang diperoleh daripada KWSP, 50 peratus pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.
Sebelum ini, bagi mengurangkan beban kewangan rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda, kerajaan membenarkan beberapa siri pengeluaran wang simpanan KWSP melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.
"Pada peringkat awalnya, pihak kami bersetuju dengan langkah ini kerana ia mampu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.
"Wang tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan termasuk penjawat awam yang mencarum KWSP serta pasangan mereka yang mungkin terjejas.
"Manfaat ini turut dirasai sendiri oleh penjawat awam kerana sejumlah 400,000 ahli aktif KWSP adalah melibatkan pencarum yang dikategorikan sebagai majikannya adalah kerajaan.
"Cuepacs beranggapan jumlah itu adalah sebahagian daripada penjawat awam yang mungkin memilih skim KWSP, berstatus kontrak atau bekerja dibawah agensi yang berkaitan kerajaan," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram