PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mengumumkan setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir akan diberikan sumbangan sebanyak RM1,000.
Selain itu, beliau juga memaklumkan kerajaan bersetuju memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terkesan akibat banjir.
"Untuk kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau 'paid leave', dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka," katanya menerusi kenyataan di Twitter.
Jelas Ismail Sabri, walaupun dari segi perundangan, tiada undang-undang yang boleh memaksa majikan memberi cuti kepada pekerja, namun perkara itu perlu dilakukan atas dasar kemanusiaan.
Selain itu, beliau akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan supaya turut berunding dengan pihak majikan.
Dalam pada itu,Ismail Sabri memaklumkan, situasi di beberapa negeri yang dilanda banjir sudah beransur pulih walaupun paras air masih meningkat di sesetengah kawasan di Kelantan, Pahang dan Terengganu.
"Oleh kerana negeri di Pantai Timur sentiasa bersedia dengan banjir di musim tengkujuh, isunya mungkin ada tapi tidaklah seperti di Selangor yang banjirnya begitu mendadak,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram