Gunakan lebihan peruntukan untuk bantu mangsa banjir — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 19 Dis 2021

KERAJAAN juga perlu memikirkan mekanisme terbaik agar bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada rakyat. — The Star

KERAJAAN perlu memanfaatkan lebihan peruntukan yang dipulangkan kepada Kementerian Kewangan sebagai dana khas untuk bantu mangsa banjir.

Pandangan itu disuarakan Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.

ahmed razlan

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.

Menurut beliau, perkara itu perlu diteliti kerajaan kerana memandangkan kejadian banjir tahun ini melibatkan banyak lokasi di Malaysia dan dana itu amat diperlukan untuk meringanka beban mangsa musibah.

"Setiap hujung tahun pihak kementerian akan membuat audit dan penutupan akaun bagi tahun semasa dan menerusi itu jika ada peruntukan yang tidak habis digunakan, ia akan dipulangkan kepada Kementerian Kewangan.

"Lebihan wang yang dikumpulkan itu boleh menjadi dana kecemasan untuk membantu mangsa dan ia adalah salah satu cara yang lebih cepat untuk dilaksanakan kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, perkara sama boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang turut mempunyai lebihan peruntukan yang dipulangkan kepada unit kewangan.

Jelasnya, dalam perkara ini kerajaan perlu memikirkan mekanisme terbaik bagi memastikan semua rakyat yang terjejas dapat menikmati bantuan yang sama rata.

Menurut Ahmed Razman lagi, bantuan utama yang perlu diutamakan adalah menyediakan tempat tinggal sementara untuk mereka yang teruk terjejas dan bekalan makanan.

"Selain itu, boleh dipertimbangkan pampasan untuk mangsa yang menaggung kos kerosakan harta benda terutama golongan B40.

"Kerajaan juga perlu membincangkan pelan jangka panjang bagi mempersiapkan negara untuk berdepan bencana ekoran perubahan iklim ekstrim yang tidak diduga," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram