Gambar perkahwinan tiba-tiba bertemakan banjir di Klang


  • Tular
  • Ahad, 19 Dis 2021

TANGKAP layar gambar perkahwinan pengantin yang diambil ketika cuaca hujan dan banjir di Klang. — TikTok

SIAPA sangka rupanya hujan yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur khususnya akan membuatkan ramai yang terkesan ekoran banjir.

Begitu juga yang dihadapi oleh pasangan pengantin yang mengadakan majlis perkahwinan mereka di Klang, Selangor dan terpaksa dilangsungkan dalam suasana banjir pada Sabtu.

Menerusi akaun Tiktok yang dimuat naik oleh pengguna bernama Ariffrosly1, pasangan pengantin itu pada mulanya sudah mula kecewa kerana terpaksa melangsungkan perkahwinan dalam suasana banjir.

Namun, pemilik video TikTok itu cuba menceriakan pasangan tersebut dengan mengajak mereka untuk mengambil gambar perkahwinan dengan suasana hujan dan banjir.

Hasil gambar tersebut memang memukau seolah-olah pengantin sendiri memilih tema perkahwinan banjir untuk perkahwinan mereka.

Sementara itu, seorang daripada ahli keluarga pengantin, Haryati Karim pada status Facebooknya memberitahu, mereka sebenarnya sudah mula berasa risau mengenai majlis tersebut kerana hujan mula naik seawal dua pagi.

Malah, dia dan ahli keluarga yang lain juga terpaksa mengalihkan kenderaan kerana kawasan rumah homestay yang diduduki juga sudah mula dinaiki air pada waktu itu.

Tambahnya, majlis pernikahan juga sepatutnya berlangsung pada pukul 10 pagi tetapi terpaksa ditunda hingga pukul 11.30 pagi untuk menanti air surut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tular, Kahwin, Banjir, Klang,