Musim banjir, laluan utama Gua Musang masih boleh dilalui kenderaan


  • 112
  • Sabtu, 18 Dis 2021

KEADAAN terkini bandar lama Gua Musang yang ditenggelami air susulan limpahan air Sungai Galas pada Sabtu. — Ihsan pembaca

SEMUA laluan utama di jajahan Gua Musang, Kelantan masih boleh dilalui oleh kenderaan walaupun beberapa kawasan sudah ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bagaimanapun enam jalan yang kurang digunakan oleh orang ramai ditenggelami air.

"Antara jalan berkenaan ialah Kampung Kerinting, Jeram Tekoh, Chalil, Paloh 2, Felda Chiku 7 dan jambatan Sungai Cindai.

"Setakat ini hujan masih lagi turun dan paras air sungai utama juga menunjukkan peningkatan iaitu Sungai Relai 113.7 meter (m) (waspada), Sungai Aring 71.92 m (amaran), dan Sungai Lebir 71.4 m (amaran)," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan seramai 806 orang daripada 168 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7, SK Limau Kasturi 1 dan SMK Tengku Indra Petra.

Beliau turut berharap penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Galas, Lebir dan Nenggiri bersiap sedia berpindah sekiranya kawasan tersebut dinaiki air.

Katanya, antara perkara yang perlu diutamakan ialah menutup semua suis elektrik dan membawa dokumen penting bersama apabila berpindah.

"Orang ramai juga diingatkan jangan menjadikan banjir sebagai peluang untuk berpesta air kerana ia boleh mengundang padah," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, Gua Musang, laluan utama, Kelantan