Selangor buka 33 PPS untuk mangsa banjir


  • 112
  • Sabtu, 18 Dis 2021

SUKARELAWAN Team Selangor dan SERVE digerakkan bagi mengedarkan bantuan-bantuan kepada mangsa banjir. — The Star

SELANGOR membuka 33 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana banjir yang melanda negeri itu.

Pembukaan PPS itu melibatkan tiga daerah iaitu Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perpindahan mangsa banjir ke PPS sedang giat dijalankan.

"Kerajaan Negeri mengerakkan semua agensi berkaitan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah Tempatan (PDT) untuk memindahkan mangsa dan memberi bantuan kecemasa segera.

"Sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) turut digerakkan bagi mengedarkan bantuan-bantuan kepada mangsa banjir," katanya menerusi satu ciapan di laman sosial Twitter.

sel banjir 1

Antara PPS yang dibuka adalah Masjid Al-Islah/Masjid Al-Ubudiyah; Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong; SK Johan Setia; Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sg Pinang; Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah; SRA Pulau Indah; Balai MPKK Perigi Nanas; Balai MPKK Bukit Naga, SK Sg Bijai dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa, Klang.

Selain itu, turut dibuka ialah PPS SK Jalan Kebun; Balairaya MPKK Kampung Lombong; SRA Sg Serdang; Dewan Orang Ramai Tok Muda; SRA Pekan Kapar; SRA Sungai Delek dan Dewan MPKK Sungai Delek.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini, seramai 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan PPS di negeri ini.

Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata, di Klang seramai 2,604 mangsa ditempatkan di 20 PPS di daerah itu.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang.

"Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak seramai 482 mangsa ditempatkan di 10 PPS," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.

Terdahulu, Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis memaklumkan lebih 1,000 mangsa banjir di negeri tersebut dipindahkan ke PPS berdekatan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, Selangor, PPS, Amirudin Shari, PPS