Helikopter bawa Abang Jo mendarat cemas, semua selamat


  • Politik
  • Sabtu, 18 Dis 2021

TANGKAP layar video tular helikopter dinaiki Abang Jo yang mendarat cemas di padang kawad Unimas. — Facebook

HELIKOPTER dinaiki Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg terpaksa melakukan pendaratan cemas di padang kawad Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) kira-kira 2 petang Sabtu akibat hujan lebat.

"Akibat hujan lebat, helikopter itu yang sepatutnya mendarat di Masjid Jamek Negeri terpaksa dilencongkan ke Unimas. Semua penumpang dalam helikopter termasuk Abang Johari selamat,” kata Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Ahmad Hazlan Ismawi ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata insiden itu berlaku ketika helikopter yang dinaiki Abang Johari sedang dalam penerbangan dari Gedong ke Masjid Jamek di Kuching.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah helikopter berwarna putih sedang melakukan pendaratan cemas semasa hujan lebat.

Abang Johari merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Proses pengundian bagi PRN12 berlangsung pada Sabtu dalam keadaan hujan di sesetengah kawasan di bandar raya Kuching. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram