Tiga wanita terakhir Bidayuh Ring Lady curi tumpuan mengundi di DUN Mambong


  • Politik
  • Sabtu, 18 Dis 2021

SALAH seorang wanita Bidayuh Ring Lady terakhir, Singai Nekan, mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Semban pada Sabtu. — Bernama

DALAM kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, tiga wanita Bidayuh Ring Lady terakhir di negara ini mencuri perhatian media apabila mereka keluar mengundi pada pagi Sabtu.

Ketiga-tiga mereka membuang undi di Dewan Masyarakat Kampung Semban, Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) di sini bagi memilih wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Berasal dari Kampung Semban, Tawud Luhan, 75, tiba pada jam 8 pagi, disusuli dua rakannya, Peluk Aneh, 70, dan Singai Nekan, 69 tahun.

Tiga wanita berkenaan merupakan kaum Bidayuh terakhir yang memakai gelang tembaga yang dikenali sebagai 'ruyang' dan 'rasung' pada bahagian lengan dan betis, seawal umur 10 tahun.

Mereka adalah anggota kumpulan kebudayaan dari Kampung Semban, yang sering dijemput untuk membuat persembahan di pelbagai festival di Kuala Lumpur, malah pada tahun 2016 kumpulan ini turut diundang untuk membuat persembahan di Lo Spirito Del Pianeta, festival antarabangsa kumpulan peribumi dan suku kaum di Milan, Itali.

Pakaian tradisional wanita bergelang tembaga ini terdiri daripada Bulang Sebi (hiasan kepala), Tumbih (rantai), Kain Ngumban (selempang merah), Sisink’ng dan Wi (tali pinggang), Baju Putang (blaus) dan Jemuh Sulam (kain sarung/sket). Ia dikenali sebagai tradisi unik ‘Dayung Hmuai Semban’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram