Status vaksinasi jadi tidak lengkap jika lewat ambil booster — Khairy


  • Primer
  • Khamis, 16 Dis 2021

SEMUA penerima dos lengkap vaksin Sinovac dan warga emas 60 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya Februari 2022. — Gambar hiasan

PENERIMA vaksin berusia 60 tahun ke atas dan penerima Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

Katanya, ini bermakna individu tersebut tidak layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.

"Semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022.

"Selain itu ialah kumpulan individu berumur 60 tahun dan ke atas tanpa mengira jenis vaksin siri primer," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram