Dos penggalak bukan paksaan tapi ringankan beban sistem kesihatan


  • Massa
  • Jumaat, 17 Dis 2021

ORANG ramai di ruang menunggu selepas menerima vaksin dos penggalak di HCO Sunshine Square di Bayan Baru, Pulau Pinang. — The Star

KEPUTUSAN kerajaan bahawa semua penerima dos lengkap vaksin Covid-19 perlu mendapatkan suntikan dos penggalak bukan berbentuk paksaan, kata Prof Madya Dr Malina Osman.

Sebaliknya, pakar kesihatan itu berkata, ia adalah berdasarkan data-data sains yang menunjukkan keperluan orang ramai bertindak awal bagi mengelakkan sebarang potensi kluster baharu wabak itu.

Beliau berkata, keperluan dos penggalak bukan sahaja dapat mengelakkan kematian, malah mengurangkan beban kepada sistem perkhidmatan kesihatan.

MalinaOsman

DR Malina berkata, pemberian dos penggalak kepada rakyat bukanlah suatu paksaan.

Katanya, pemberian dos penggalak juga perlu dilakukan demi memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan, selain memastikan sistem perkhimatan kesihatan tidak lagi terjejas akibat pandemik yang tidak terkawal.

"Sekiranya dengan pendefinisian semula pemberian vaksin lengkap ini menjamin suasana lebih selamat serta dapat membawa kita keluar dari pandemik, saya cenderung kepada keputusan tersebut berbanding sekiranya kita tidak melakukan sesuatu.

"Sebab kita bimbang dengan adanya kluster atau peningkatan kes-kes yang baharu akan menyebabkan kita berdepan dengan pusingan yang sangat getir," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan kerajaan bahawa semua penerima dos lengkap vaksin Covid-19, Sinovac yang berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu yang berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin yang diambil sebelum ini juga perlu mendapatkan suntikan dos penggalak itu pada tempoh berkenaan.

"Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

"Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, orang ramai perlu memperbetulkan sentimen bahawa terdapat paksaan dalam pemberian dos penggalak.

Beliau berkata, perkara itu tidak boleh dilihat dalam konteks individu, sebaliknya perlu dilihat dalam dimensi kebaikan yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat secara keseluruhannya.

"Sehubungan dengan itu, walaupun ia dilihat seolah-olah seperti paksaan, ia sebenarnya untuk kebaikan semua individu yang terlibat, terutamanya mereka yang berisiko dan dalam masa sama mereka masih diberi pilihan.

"Maksudnya, sekiranya enggan mendapatkan vaksin, mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan sepertimana yang telah termaktub dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), yang bermakna mereka masih boleh melakukan aktiviti tapi terhad.

"Sebab tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada sebarang potensi jangkitan atau komplikasi-komplikasi yang serius," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram