APMM halau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing


  • 112
  • Selasa, 19 Okt 2021

RADAR SWASLA APMM yang berpangkalan di ACC Klang, telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib. — Bernama
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin, oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4.00 pagi pada Selasa.

Pengarah APMM Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam semalam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

Beliau berkata, pada jam lebih kurang 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang, telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

"Berikutan itu bot Penggalang 10 APMM yang dalam tugasan Op Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan pada Selasa..

Katanya sekitar jam 2 pagi tadi, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin, lalu mengarahkan untuk berhenti, namun tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

"Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas, bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.

Mohd Rosli berkata, dalam tempoh kejar buru hampir satu jam tiga puluh minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan merbahaya.

Katanya, Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang. — Bernama

APMM, bot, pendatang asing, halau