Ali Biju tersilap langkah, tersungkur di Krian


  • Politik
  • Sabtu, 18 Dis 2021

Ali gagal mempertahankan kerusi DUN Krian pada PRN Sarawak ke-12. — The Star

TIMBALAN Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak apabila bertanding sebagai calon Bebas, gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian yang dimenangi pada PRN lalu.

Ali tewas kepada Friday Belik, calon GPS-PDP yang menang dengan majoriti 932 undi dalam keputusan rasmi di myundi.com.my/sarawak-live-results.

Berdasarkan jumlah tersebut, calon GPS, Friday Belik telah mendapat 3,885 undi, calon PSB, Musa Dinggat 2,953 undi, calon PBK, Danny Kuan 282 undi, manakala calon Bebas, Ali mendapat 1,777 undi.

Pada 6 Disember lalu, Ali yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak mengesahkan beliau bertanding di DUN Krian sebagai calon Bebas sebelum mengumumkan menarik diri dan meminta penyokongnya menyokong Friday pada PRN itu.

Selain Ali, tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket calon Bebas telah digugurkan keahlian secara automatik susulan tindakan mereka yang bercanggah dengan perlembagaan parti.

Mereka ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram