SEBANYAK 34 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan dari 27 November hingga 12 Disember 2021 kepada peniaga sayur di negeri itu.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPNHEP Negeri Sembilan Abd Muis Samsudin, notis itu dikeluarkan susulan kenaikan harga melibatkan kubis bunga, brokoli, sawi dan cili merah minyak.
Ia dikeluarkan menerusi pemeriksaan di peringkat rantaian pengedaran sayur-sayuran di bawah Ops Pasar 2021 (Sayur-Sayuran 2).
Katanya lagi, notis itu terdiri daripada 17 Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Perkhidmatan serta 17 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Dua peniaga disyaki melakukan kesalahan mencatut mengikut Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,.
"Peniaga pertama didapati melakukan kesalahan ini bagi sayur-sayuran jenis brokoli yang ditawarkan di premisnya yang mana analisis mendapati kos terlibat dalam pembekalan item ini didapati menurun namun harga yang ditawarkan bagi setiap kilogram kekal tiada perubahan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya hal ini menyebabkan peratusan margin meningkat sebanyak 4.37 peratus daripada peratusan keuntungan maksimum yang dibenarkan pada tahun semasa.
Kata Abd Muis lagi, peniaga kedua didapati melakukan kesalahan di premisnya bagi sayur-sayuran jenis cili merah minyak dengan peratusan keuntungan maksimum sebanyak 53.9 peratus berbanding peratusan keuntungan maksimum tahun semasa yang dibenarkan iaitu 44.01 peratus.
"Dua kertas siasatan telah dibuka membabitkan kedua-dua peniaga dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram